Thursday, March 26, 2009

Arab Saudi seru bersatu

RIYADH 25 Mac - Raja Abdullah dari Arab Saudi menyeru seluruh warga Arab dan Palestin supaya bersatu dalam menghadapi keganasan Israel.

Beliau membuat seruan tersebut semasa membuka sidang terbaru Majlis Syura negara itu semalam, seminggu sebelum Liga Arab dijadual mengadakan sidang kemuncak di Qatar.

Abdullah memberitahu badan terdiri daripada 150 anggota itu bahawa perselisihan di kalangan negara Arab dan Islam telah dieksploitasi oleh Israel dan mencetuskan "suasana gelap" di rantau ini.

Bagaimanapun tambah beliau, jurang perselisihan yang dalam antara puak-puak Palestin menimbulkan cabaran yang jauh lebih besar terhadap perpaduan Arab berbanding dasar Israel.

"Cabaran yang dihadapi oleh negara ini pada peringkat domestik dan peringkat negara Arab dan Islam menuntut tanggungjawab lebih besar dalam menghadapinya kerana cabaran itu timbul satu lepas satu, termasuk keganasan Israel yang menimbulkan kacau-bilau di rantau ini," kata Abdullah.

Kempen serangan Israel selama 23 hari ke atas Genting Gaza pada Disember dan Januari lepas memburukkan lagi perbalahan antara pergerakan Hamas yang memerintah wilayah itu dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang disokong Barat.

Keganasan Zionis itu turut mencetuskan perpecahan di dunia Arab antara kerajaan Qatar dan Syria yang menyokong Hamas dengan Arab Saudi dan Mesir yang menyebelahi Abbas.

Sejak itu, Riyadh telah berusaha keras untuk mendamaikan semula negara-negara Arab terlibat, termasuk dengan menganjurkan sidang kemuncak mini pada 11 Mac lalu untuk para pemimpin Syria, Mesir dan Kuwait.

Arab Saudi berharap segala perselisihan dapat diselesaikan sebelum sidang kemuncak Liga Arab pada 29-30 Mac ini. - AFP

No comments:

Followers