Thursday, March 26, 2009

Bantu Palestin dapatkan kedaulatan

KUALA LUMPUR 25 Mac - Malaysia akan terus membantu rakyat Palestin mendapatkan kembali kedaulatan dan keadilan yang telah dinafikan sekian lama termasuk merujuk rejim Israel ke muka pengadilan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, negara ini juga akan melaksanakan langkah yang boleh mengubah pandangan dunia terhadap ketidakadilan dan penafian hak kemanusiaan yang dialami oleh rakyat Palestin.

Beliau menegaskan, prinsip ketidakadilan iaitu 'jangan berikan hak keadilan kepada mereka yang tidak boleh bertindak balas dan hanya diberikan kepada mereka yang disokong oleh kuasa besar' perlu diperangi oleh semua pihak.

"Adalah tidak wajar kita sebut tentang prinsip kemanusiaan dan keadilan, kalaulah prinsip itu hanya dirasai oleh sebahagian rakyat dunia sedangkan sebahagian lain tidak merasainya.

"Hak ini bukan kepada mereka yang kuat sahaja dan dinafikan kepada mereka yang lemah, jangan diberikan hak itu kepada mereka yang hanya ada pengaruh besar dan tidak kepada yang tiada pengaruh," katanya.

Beliau berucap melancarkan Pameran Pembunuhan di Gaza di ruang legar aras tiga Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini yang dianjurkan oleh Kementerian Luar.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan duta-duta asing.

Najib berkata, pameran mengenai keganasan Israel di Gaza adalah usaha yang amat baik, susulan kepada sidang khas Dewan Rakyat pada 12 Januari lalu yang mengeluarkan resolusi mengutuk kekejaman rejim tersebut.

''Maka usaha-usaha secara berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kekejaman rejim Israel," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah sukarelawan Malaysia membantu rakyat Gaza menunjukkan sebilangan rakyat sanggup memberikan sumbangan untuk rakyat negara ini atas prinsip kemanusiaan.

"Malaysia amat terkenal kerana setiap kali ada peristiwa menyayat hati berlaku di mana-mana tempat di dunia, rakyat kita tidak ketinggalan membantu.

"Malah mereka turut memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit yang mencerminkan perasaan murah hati rakyat mahupun dalam bentuk tenaga sukarelawan atau sebagai pasukan keselamatan yang ditugaskan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, Kabinet telah memberikan kelulusan kepada Wisma Putra untuk mengadakan pameran yang sama di London pada 31 Mac ini.

Ini katanya, sebagai usaha untuk menyebarkan naratif kekejaman Israel kepada masyarakat dunia.

Tambah beliau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa kenamaan dari Britain dijadual berucap pada satu majlis forum yang diadakan sempena pameran tersebut.

"Kita mahu rakyat Britain turut melihat dari kaca mata dekat tentang kekejaman rejim Zionis dan bersama-sama mencari keadilan serta membawa Israel untuk dihadapkan kepada proses pengadilan," katanya.

No comments:

Followers