Saturday, March 21, 2009

Karpet makam Nabi dilelong

DOHA 20 Mac - Permaidani bersulam mutiara berusia lebih 100 tahun yang dihasilkan di India untuk menghiasi makam Nabi Muhammad SAW di Madinah dilelong di sini semalam pada harga kira-kira AS$5.5 juta (RM20.1 juta).

Pengendali rumah lelongan Sotheby berkata, 'Pearl Carpet of Baroda' itu ketika mula dibuka untuk bidaan harganya jatuh kepada AS$4.5 juta (RM16.4 juta) kerana hanya ada beberapa pembida sahaja.

Jurucakap Sotheby, Habib Basha berkata, pembeli permaidani itu merupakan salah seorang daripada tiga pembida yang tidak berhajat untuk mendedahkan dirinya.

Adalah dipercayai karpet itu telah diserahkan oleh Maharaja Baroda untuk diletak di makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi di Madinah, kata Sotheby dalam laman webnya.

Bagaimanapun maharaja berkenaan meninggal dunia dan karpet tersebut telah diserahkan oleh ahli keluarganya.

Terdapat tidak kurang dua juta mutiara asli bermutu tinggi dikenali sebagai 'basra' yang diambil dari perairan Teluk Arab dijadikan sulaman bagi menghasilkan karpet tersebut, katanya.

Karpet itu telah mendapat tumpuan utama pada Pameran Delhi pada tahun 1902-1903 sebelum di bawa ke Monaco.

Ia kembali dipamerkan di New York pada tahun 1985. - AFP

No comments:

Followers