Monday, October 20, 2008

Presiden Palestin ajak rakyat tanam pokok


BAITULMAQDIS 20 Okt. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam menggesa penduduk Palestin supaya menanam pokok di seluruh Tebing Barat sebagai tindak balas terhadap pendatang haram Yahudi yang menyerang petani Palestin semasa musim memetik buah zaitun.

Mahmoud menggambarkan serangan pendatang Yahudi ke atas petani Palestin dan perbuatan mencabut tanaman mereka pada musim tersebut sebagai "tindakan berbahaya Israel untuk memarakkan sengketa."

Beliau meminta campur tangan masyarakat antarabangsa.

"Kami mengutuk serangan ke atas penduduk Palestin dan gangguan oleh pendatang haram Yahudi dan tentera Israel di beberapa tempat di Tebing Barat pada musim memetik buah zaitun ini," kata Mahmoud kepada sekumpulan penulis dan kolumnis Palestin di pejabatnya di Ramallah, Tebing Barat.

Mahmoud menyeru penduduk Palestin supaya menanam pokok di tanah kosong dan kawasan bukit sebagai tindak balas terhadap serangan pendatang Yahudi.

Presiden itu berkata, beliau sendiri akan membiayai program penanaman sejuta batang pokok untuk menjadikan Tebing Barat sebuah kawasan hijau.

Mahmoud turut mengutuk tindakan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin baru-baru ini serta pergeseran antara penduduk Palestin dengan kumpulan Yahudi di Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Pergeseran tersebut telah meningkat di Tebing Barat sejak beberapa minggu lalu.

Kelmarin pendatang Yahudi menumbuk dan menendang dua jurugambar dan seorang wanita Britain yang membantu petani Palestin memetik buah zaitun di bandar Hebron, Tebing Barat.

Polis Israel pula bertindak menghalang penduduk Palestin memetik buah zaitun

No comments:

Followers