Sunday, July 6, 2008

25 banduan mati ditembak dalam rusuhan

NICOSIA 5 Julai - Pihak keselamatan Syria menembak mati sekurang- kurangnya 25 banduan dalam satu rusuhan membabitkan tahanan politik di sebuah penjara di pinggir Damsyik hari ini, kata kumpulan hak asasi manusia.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, kira-kira 400 orang banduan turut ditahan dalam rusuhan itu yang berlaku awal pagi ini.

"Tembakan telah dilepaskan secara berterusan ke arah banduan-banduan," kata kumpulan itu yang berpangkalan di London, dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mendakwa, bilangan tahanan yang terbunuh dalam rusuhan itu dijangka meningkat.

Kumpulan itu yang rapat dengan puak pembangkang, pada mulanya menganggarkan angka korban hanya 10 orang, tetapi seorang jurucakap kemudiannya menghubungi AFP memaklumkan angka korban meningkat kepada 25 orang.

Kumpulan itu turut mendakwa menerima panggilan telefon daripada saudara mara banduan yang meminta Presiden Syria, Bashar al-Assad campur tangan bagi menghentikan pertempuran di penjara di bandar pra-sejarah Saydnaya itu.

Penjara Saydnaya merupakan antara penjara yang terbesar di Syria dan menempatkan kebanyakan tahanan politik berhaluan Islam.

Syria telah melancarkan gerakan menentang puak pemberontak sejak akhir-akhir ini menggunakan undang- undang darurat, sehingga menimbulkan bantahan keras pihak Barat.

Rusuhan di Penjara Saydnaya berlaku seminggu sebelum Bashar dijadual berlepas ke Paris pada 12 Julai ini, untuk bertemu Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, selain menghadiri satu sidang kemuncak antara Kesatuan Eropah dan Negara Mediterranean.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Syria, Penjara Saydnaya dibina pada 1987 dan boleh menempatkan sehingga 10,000 banduan, berbanding kapasiti asal sebanyak 5,000 orang.

(copy -Paste from surat khabar lama)

1 comment:

Raihan Mustafa KamaL said...

Benarkah Syria sampai jadi begini?

Followers