Wednesday, May 14, 2008

Beribu-ribu belon hitam sambut al-Nakba

BAITULMAQDIS 14 Mei - Ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dijadual berucap kepada Parlimen Israel bagi menyambut 60 tahun penubuhan negara Yahudi, orang Arab Palestin pula akan melepaskan beribu-ribu belon hitam di ruang angkasa Baitulmaqdis sebagai tanda kekalahan besar bangsa Arab.

Bush dijadual menyampaikan ucapan di Parlimen Israel esok, hari yang sama orang Arab Palestin menyambut hari al-Nakba atau hari malapetaka, iaitu hari pembentukan negara Israel pada tahun 1948, kekalahan tentera Arab dan pengusiran lebih 700,000 penduduk Arab Palestin.

"Bagi menyambut al-Nakba, orang Arab Palestin akan menjadikan awan Baitulmaqdis gelap dengan 21,915 belon dengan setiap belon menandakan setiap hari penindasan terhadap kami," jelas penganjur program melepaskan belon, dalam satu kenyataan.

Serentak dengan itu, satu tunjuk perasaan besar-besaran akan diadakan di Ramallah di Tebing Barat.

"Ini akan menjadi jawapan kepada ucapan Bush dan kedudukan AS yang menjadi musuh kepada perjuangan kami," kata Ketua Jawatankuasa Penganjur, Omar Assaf.

Bagi orang Arab Palestin, 15 Mei merupakan salah satu daripada hari malang dalam perjuangan berdekad-dekad menuntut kemerdekaan Palestin.

"Enam puluh tahun dahulu, kami diusir beramai-ramai dan menderita kerana sikap ketidakadilan Israel. Hari ini kami meminta dunia memberikan kami keadilan," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang merupakan pelarian dari bandar Safed.

Sementara itu di Gaza, pergerakan Hamas akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di lintasan sempadan Israel, Erez bagi membantah al-Nakba Baru, iaitu sekatan menyeluruh yang dikenakan ke atas wilayah Palestin, selepas kumpulan pejuang itu berkuasa di Gaza pada Jun lalu.

No comments:

Followers