Saturday, April 3, 2010

Negara Palestin ditubuh Ogos 2011

BAITULMAQDIS 2 April - Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad meramalkan sebuah negara Palestin akan wujud pada Ogos tahun depan menerusi pembinaan institusi-institusi untuk negara tersebut.

Fayyad memberitahu akhbar Israel, Haaretz, kelahiran sebuah negara Palestin kelak akan diraikan oleh seluruh masyarakat dunia.

"Masanya akan tiba untuk anak itu dilahirkan, dan kami menjangka kelahirannya akan berlaku sekitar 2011.

"Itulah wawasan kami dan gambaran hasrat kami untuk melaksanakan hak kami untuk hidup secara bebas dan bermaruah di negara kami sendiri, bersebelahan negara Israel, dalam suasana penuh harmoni," kata Perdana Menteri itu hari ini.

Tarikh Ogos 2011 yang disebut oleh Fayyad itu adalah berasaskan keputusan pucuk pimpinan Palestin pada Ogos 2009 untuk menubuhkan negara dalam tempoh dua tahun.

Sejak itu, Fayyad giat berusaha untuk membina institusi-institusi bagi membolehkan sebuah negara Palestin berfungsi.

"Jika atas sebab tertentu, pada Ogos 2011 pelan itu gagal, saya yakin kami sudah membina cukup banyak institusi di wilayah Palestin pada ketika itu, sehingga realiti yang wujud akan memaksa proses politik menghasilkan sebuah negara Palestin," kata beliau.

Para pemimpin Palestin sudah berkali-kali mengancam untuk mengisytiharkan sebuah negara Palestin secara unilateral (tanpa menerusi rundingan dengan Israel) atau meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf kemerdekaan mereka.

Ancaman itu mencerminkan rasa kecewa yang semakin mendalam dengan kegagalan usaha Amerika Syarikat (AS) sehingga kini untuk melancarkan semula rundingan damai Israel-Palestin.

Rundingan itu terhenti semasa kempen serangan tentera Israel ke atas Genting Gaza pada Disember 2008-Januari 2009.

Israel bagaimanapun memberi amaran akan mengambil tindakan tegas jika Palestin mengisytiharkan kemerdekaan secara unilateral. - AFP

Petikan dari www.utusan.com.my

No comments:

Followers