Thursday, February 25, 2010

Hukum Menyambut Hari Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

MUNCUL Rabiulawal, sebahagian besar Muslim di sini dan seluruh dunia menyambut Maulud Nabi (saw).

Mereka mengadakan pelbagai kegiatan, termasuklah berselawat dan membaca dibai, berzanji serta syarahan mengenai sirah (sejarah) dan mesej ajaran dan akhlak Baginda (saw).

Imam Jalaluddin al-Suyuthi (849 - 911 Hijrah) pernah menjawab satu soalan:

'Apa hukum mengadakan perayaan Maulud Nabi (saw) pada bulan Rabiulawal? Adakah orang yang melakukannya mendapat pahala ataukah hanya sesia belaka?'

Beliau menjawab: 'Selagi perayaan Maulud Nabi (saw) menghimpunkan manusia untuk membaca Al-Quran dan kisah teladan Baginda sejak kelahirannya hingga akhir hayatnya, diikuti dengan menghidangkan makanan yang dinikmati bersama, setelah itu mereka pun bersurai, hanya itu yang dilakukan dan tidak lebih, maka semua itu disifatkan sebagai al-Bid'ah al-Hasanah (melakukan sesuatu perkara baru yang baik dan bermanfaat). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana mengagungkan darjat Nabi (saw), melahirkan rasa bersyukur kepada Allah (swt) kerana berasa gembira atas kelahiran Nabi Muhammad (saw) yang mulia.' (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, juzuk I )

Menzahirkan rasa gembira itu tidak dilarang, bahkan digalakkan.

Allah berfirman yang bermaksud:

'Katakanlah (Muhammad), sebab fadhal dan rahmat Allah (kepada kamu sekalian), maka bergembiralah kalian.' (Surah Yunus: 58).

Ayat ini secara terang dan jelas menyuruh umat Islam bergembira dengan adanya rahmat Allah (swt). Antara rahmat terbesar-Nya ialah diutuskan Nabi (saw):

'Dan Kami (Allah) tidak mengutusmu (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.' (Surah Al-Anbiya: 107).

Benih dan nilai daripada meraikan Maulud sudah pun ditanam sendiri oleh Baginda:

'Diriwayatkan dari Abu Qatadah al-Anshari (ra) bahawa Rasulullah saw pernah ditanya tentang puasa hari Isnin. Maka Baginda (saw) menjawab: 'Pada hari itulah aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.' (HR Imam Muslim).

Alim terkemuka dari Arab Saudi, Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki (Almarhum), berpendapat:

'Pada asasnya, berhimpun mengadakan Maulud Nabi merupakan sesuatu yang sudah lumrah. Tapi, hal itu termasuk kebiasaan yang baik yang mengandungi banyak manfaat yang (akhirnya) kembali kepada umat itu sendiri dengan beberapa keutamaan (di dalamnya). Sebab, kebiasaan seperti itu sememangnya digalakkan oleh syariat.

'Sesungguhnya majlis-majlis ini juga alat yang baik untuk berdakwah. Sekali gus, peluang emas yang seharusnya tidak boleh punah. Bahkan menjadi kewajipan para dai dan ulama agar mengingatkan umat kepada akhlak, sopan santun, keadaan sehari-hari, sejarah, tatacara bergaul dan ibadah Nabi Muhammad (saw).

'Dan hendaknya mereka menasihati dan memberikan petunjuk agar selalu melakukan kebaikan dan kebajikan, dan mengingatkan umat akan datangnya bala (ujian), bidaah, kejahatan dan berbagai fitnah.' (Lihat Mafahim Yajib an Tushahhah).

Imam Ibn Taimiyyah yang dipetik oleh Sayyid Muhammad al-Maliki juga berpendapat:

'Orang-orang yang meraikan Maulud Nabi saw akan diberi pahala. Begitulah yang dilakukan oleh sebahagian orang. Hal yang sama ditemukan di kalangan Nasrani yang memperingati kelahiran Isa (as).

'Dalam Islam, amalan sama dilakukan kaum Muslimin sebagai rasa cinta dan penghormatan kepada Nabi (saw). Dan Allah (swt) akan memberi pahala kepada mereka atas kecintaan mereka kepada Nabi mereka, bukan dosa atas bidaah yang mereka lakukan.' (Lihat Manhaj al-Salaf fii Fahmi al-Nushush Bainan Nazhariyyah wat Tathbiq).

Perayaan Maulud di peringkat negara dimulakan oleh Amr Abu Said Muzafaruddin al-Arbela (meninggal dunia 630 H).

Ia diadakan dari Muharam hingga Rabiulawal di Arbela (Iraq) yang dihadiri ulama, mufti, penyair dan lain-lain dari pelbagai wilayah meliputi seluruh Iraq, Turkey, Parsi, Mesir dan lain-lain. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir juzuk 13, halaman 136-137).

Lakukanlah amal soleh seperti membaca selawat, Al-Quran, mengkaji sejarah Baginda, bersedekah dan menyebarkan muhibah sesama Muslim dan manusia sejagat demi mengenang bakti insan teragung itu.

No comments:

Followers