Thursday, July 16, 2009

Pemberontak Sunnah digantung

TEHERAN 15 Julai - Iran telah menggantung mati 13 anggota sebuah kumpulan pemberontak Sunnah semalam yang didapati bersalah dalam insiden pengeboman dan pembunuhan di kawasan bergolak di tenggara negara ini yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan.

Hukuman itu adalah yang terbesar pernah dilakukan terhadap anggota kumpulan Jundallah dan bertindak sebagai amaran kepada kumpulan yang terdiri daripada etnik minoriti Baluchi.

Mereka telah melancarkan pemberontakan kecil sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mendakwa kerajaan Syiah Parsi Iran melakukan penindasan.

Jundallah yang bermaksud Tentera Tuhan, mengaku bertanggungjawab dalam pengeboman berani mati di sebuah masjid Syiah pada Mei lalu yang meragut 25 nyawa di Zahedan, ibu negeri wilayah Sistan-Baluchistan.

Menurut agensi berita IRNA, kesemua 13 anggota Jundallah pada asalnya dijadualkan menjalani hukuman itu di Zahedan, namun pihak berkuasa mengubah fikiran pada saat akhir dan memutuskan untuk menggantung mereka di dalam penjara utama di bandar itu.

Laporan menyatakan bahawa Abdulhamid Rigi, adik kepada ketua Jundallah, Abdulmalik Rigi, yang dijadual menjalani hukuman tetapi ditangguhkan tanpa dinyatakan sebarang sebab.

Hukuman mati itu adalah yang terbaru oleh pihak berkuasa Iran dalam langkah menangani keganasan di wilayah Sistan-Baluchistan yang majoriti penduduknya adalah puak Sunah.

Tiga lelaki yang didapati bersalah kerana mempunyai kaitan dengan serangan berani mati pada Mei lalu, digantung mati dua hari selepas insiden tersebut. - AP

No comments:

Followers