Tuesday, January 20, 2009

Bangunkan Gaza...

GAZA 19 Jan. - Ketua kerajaan Hamas, Ismail Haniyeh menggambarkan perang di Genting Gaza sebagai "kemenangan besar" untuk seluruh rakyat Palestin.

Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza itu berkata, kempen tentera Israel selama 22 hari itu telah gagal mencapai matlamatnya, selain gagal mematahkan semangat penduduk Palestin.

"Allah telah memberi kita kemenangan besar, bukan untuk satu puak atau satu parti atau satu wilayah, tetapi untuk seluruh rakyat kita.
"Kita telah berjaya menghentikan serangan dan musuh gagal mencapai sebarang matlamatnya," kata Ismail dalam ucapan di televisyen lewat semalam.

Beliau berkata demikian kurang 24 jam selepas Israel menamatkan keganasannya di Gaza yang telah membunuh lebih 1,300 penduduk Palestin.

Ismail telah menyembunyikan diri sejak bermulanya serangan Israel pada 27 Disember lalu, tetapi pernah membuat dua kenyataan di televisyen bagi menjanjikan kemenangan di tengah-tengah serangan paling dahsyat rejim Zionis ke atas wilayah Palestin ini.

Beliau mengesahkan keputusan Hamas awal semalam untuk menguatkuasakan gencatan senjata selama seminggu bagi membolehkan Israel mengundurkan semua askarnya dan membuka semula pintu sempadan Gaza.

"Kumpulan-kumpulan pejuang memutuskan untuk menghentikan tembakan di Gaza supaya askar musuh boleh berundur sepenuhnya.

"Keputusan ini membuktikan Hamas mengambil tindakan betul dan bertanggungjawab dan berusaha untuk memenuhi kepentingan rakyat," katanya.

Askar Israel mula berundur dari Gaza selepas gencatan senjata yang diisytiharkan oleh rejim Yahudi itu mula berkuat kuasa pada pukul 2 pagi semalam (8 pagi semalam waktu Malaysia).

Rejim tersebut bagaimanapun belum menetapkan tarikh untuk mengundurkan semua askarnya. - AFP

No comments:

Followers